JAKARTA: Gabenor DKI Jakarta, Anies Baswedan memuji kumpulan band Nidji yang dijemput untuk melakukan latihan di Stadium Antarabangsa Jakarta (JIS), pada Ahad.

Anies sifatkan kumpulan muzik itu menampilkan 'muzik yang hebat, suara yang merdu dan tidak ada yang sumbang'.

Bagi penganalisis politik, Adi Priyatno, tindakan Anies itu ditafsir sebagai satu sindiran kepada Ketua Umum Partai Solidaritas Indonesia (PSI), Giring Ganesha yang juga bekas vokalis Nidji.

"Hanya dengan menjemput Nidji sahaja, Anies dilihat menyerang semula, menggunakan kumpulan yang dahulu tempat Giring mencipta nama.

"Anies merupakan ahli politik yang suka menyindir secara halus menggunakan cara tertentu," memetik laporan Kompas.com hari ini.

Adi berpandangan, Anies mungkin ketika ini merasakan sudah cukup untuk Giring meneruskan tindakan menjatuhkan beliau.

Ia lantaran Giring berkali-kali menyatakan Anies sebagai pembohong seperti dalam perkongsian di media sosial.

"Jelas Anies ingin mengatakan bahawa Nidji merupakan kumpulan yang bagus dan berjaya menjadi idola ramai.

"Tidak perlu pakar untuk menafsirkan tindakan Anies menjemput Nidji selain mengeluarkan kata-kata pujian seperti itu," katanya.