KUTUPALONG: Puluhan ribu pelarian Rohingya berkumpul di Kutupalong pada Khamis bagi menyertai perarakan pengebumian seorang pemimpin Rohingya yang terbunuh pada Rabu.

Mohibullah, wakil antarabangsa pelarian etnik Rohingya ditembak mati di sebuah kem di Bangladesh oleh lelaki bersenjata yang identitinya belum dikenalpasti.

Beliau adalah seorang guru yang menjadi pemimpin pelarian utama dan jurucakap mewakili kumpulan etnik Muslim dalam pertemuan di peringkat antarabangsa.

Pada 2019, beliau juga pernah berkunjung ke White House untuk mengadakan pertemuan mengenai kebebasan beragama bersama Presiden Amerika Syarikat ketika itu, Donald Trump.

Turut dibincangkan dalam lawatan berkenaan adalah mengenai penderitaan dan penganiayaan yang dihadapi Rohingya di Myanmar.

Amnesty International mengecam pembunuhan itu dan mendesak pihak berkuasa Bangladesh dan agensi pelarian PBB untuk bekerjasama bagi memastikan perlindungan pelarian di kem itu.