Sebuah pusat beli-belah di Singapura menggunakan robot pintar dalam usaha melawan penularan wabak COVID-19, bukan dengan bahan kimia seperti kebiasaan sebaliknya menggunakan cahaya.

Tatkala semburan pembasmi kuman menjadi kelaziman, robot yang menggunakan lampu sinaran ultra ungu itu mampu membunuh virus bukan hanya pada permukaan namun di kawasan tersembunyi.

Menurut Derrick Yap, PBA Group membangunkan Sunburst UV Bot berkata, penularan virus tersebut membuka peluang untuk mereka menguji robot tersebut.

“Sinaran tersebut akan memberi kesan kepada kulit dan mata manusia dan kerana itu, robot ini akan diuji oleh Frasers Property Retail selepas pusat beli-belah itu ditutup.

“Robot itu diprogramkan akan memadam lampunya sekiranya terdapat manusia dalam kawasan berhampiran,” katanya seperti dilaporkan Reuters.

Tambah Yap, selepas laluan robot itu dipetakan, Sunburst UV Bot akan melakukan proses pembersihan secara autonomi dan mengecaj semula selepas semuanya selesai.

“Saya harap wabak ini akan mendorong perusahaan menilai semula keperluan teknologi termasuk robot.

“Pada masa depan, akan ada banyak penggunaan teknologi seperti ini,” katanya.

Setakat ini hanya satu Sunburst UV Bot sedang menjalani ujian dan Frasers berhasrat untuk mengerahkan Bot tersebut di lebih banyak tempat di Singapura.

Namun, harganya tidak murah. Ianya boleh didapati dari USD75,180 (RM328,000) di mana sebahagiannya disewakan kepada pelanggan dengan harga USD3,222 (RM14,000) sebulan dan sebahagian lagi akan diberikan kepada hospital dan pusat kuarantin.

Robot tersebut akan berjalan di seluruh kawasan pusat beli-belah dan melakukan proses disinfeksi di kawasan itu selepas bangunan itu ditutup sebelum dibuka semula kepada pelanggan keesokan harinya.