Pusingan seterusnya rundingan damai Rusia-Ukraine akan diadakan di sempadan Belarus-Poland

Bernama
Mac 1, 2022 03:42 MYT
Vladimir Medinsky bercakap kepada media selepas rundingan damai dengan delegasi Ukraine di wilayah Gomel, Belarus, 28 Feb 2022. (Foto AP)
MOSCOW: Pusingan rundingan damai Rusia-Ukraine seterusnya akan berlangsung di sempadan Belarus-Poland dalam beberapa hari lagi, menurut ketua delegasi Rusia Vladimir Medinsky pada rundingan yang diadakan di Belarus, lapor Xinhua memetik Agensi Berita Rusia RIA Novosti, Isnin.
"Paling penting, kami bersetuju untuk meneruskan proses rundingan, pertemuan seterusnya akan diadakan dalam beberapa hari lagi di sempadan Poland-Belarus," kata Medinsky selepas rundingan itu.
Medinsky juga menegaskan bahawa para perwakilan kini akan kembali ke ibu negara masing-masing untuk membincangkan lebih lanjut semua aspek rundingan dan akan bertemu lagi untuk pusingan rundingan seterusnya.
"Kami menemui beberapa isu yang kami jangka menyaksikan pendirian yang sama," kata pegawai itu.
Semasa rundingan itu, semua aspek rundingan telah dibincangkan secara terperinci, tambahnya.
-- BERNAMA
#rundingan damai #krisis Rusia-Ukraine #Vladimir Medinsky #sempadan Poland-Belarus