PUTERA Harry memohon semakan kehakiman terhadap keengganan Pejabat Dalam Negeri membenarkannya membayar sendiri kawalan polis untuk beliau sekeluarga ketika berada di United Kingdom.

Duke of Sussex yang kini menetap di Amerika Syarikat itu berkata pasukan keselamatan peribadinya tidak mempunyai bidang kuasa yang mencukupi di luar negara.

Harry hilang hak ke atas mempunyai kawalan polis yang dibiayai pembayar cukai selepas berundur daripada tugas diraja pada 2020.

Harry berkata beliau mahu melawat negara asalnya bersama keluarganya, tetapi perlu memastikan keselamatan mereka.

Permohonan untuk semakan kehakiman merupakan satu cabaran di Mahkamah Tinggi terhadap keputusan badan awam atau jabatan kerajaan berikutan insiden keselamatan di London pada Julai 2021 apabila kereta Harry dikejar jurugambar sewaktu meninggalkan acara amal.

"Putera Harry tidak dapat lari daripada risiko keselamatan sejak lahir dan akan berterusan seumur hidupnya.

"Beliau kekal berada di tempat keenam dalam senarai pewaris takhta, telah menjalani dua tugasan di Afghanistan, dan dalam beberapa tahun kebelakangan ini keluarga beliau menjadi ancaman pihak-pihak tertentu," kata satu kenyataan.

Jurucakap kerajaan dalam reaksinya berkata sistem keselamatan perlindungan UK adalah ketat dan mempunyai kadar tersendiri.

"Adalah menjadi dasar kami untuk tidak memberikan maklumat terperinci mengenai aturan tersebut.

"Ia boleh menjejaskan integriti dan menjejaskan keselamatan individu terbabit," katanya.