ISTANBUL: Presiden Rusia Vladimir Putin pada Ahad mengadakan lawatan mengejut ke bandar Mariupol di wilayah Donetsk Ukraine yang berada di bawah kawalan Rusia sejak Mei lalu.

Putin turut meluangkan masa beramah mesra dengan penduduk tempatan, lapor Agensi Anadolu memetik kenyataan Kremlin.

Beliau diiringi Timbalan Perdana Menteri Marat Khusnullin.

"Selain itu, Vladimir Putin turut mengadakan mesyuarat di pos arahan operasi ketenteraan khas di Rostov-on-Don dan mendengar taklimat daripada Ketua Staf Am Rusia Valery Gerasimov dan beberapa pemimpin tentera," menurut satu kenyataan.

Lawatan itu yang pertama oleh Putin ke wilayah Donbas Mariupol yang dikuasai Rusia sejak permulaan perang antara kedua-dua negara pada Februari tahun lepas.

Sehari sebelum itu, Putin melawat bandar Sevastopol di Crimea, sempena ulang tahun kesembilan pengilhakan semenanjung itu oleh Moscow, tindakan yang dilihat sebagai haram oleh masyarakat antarabangsa, termasuk Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

-- BERNAMA