AMSTERDAM: Pasukan penyiasat antarabangsa mendakwa mereka mempunyai bukti meyakinkan bahawa Presiden Rusia, Vladimir Putin menandatangani keputusan membenarkan sistem peluru berpandu Rusia masuk ke Ukraine.

Menurut pasukan penyiasat, sistem peluru berpandu BUK-TELAR itu telah digunakan untuk menembak jatuh MH17 yang dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur di timur Ukraine pada 17 Julai 2014.

Maklumat itu diberitahu pasukan pendakwa raya di Belanda pada Rabu selepas memperoleh kenyataan itu daripada pasukan yang menyiasat insiden pesawat MH17.

BACA: Siasatan MH17: Pasukan penyiasat bakal namakan suspek tambahan

Begitupun, mereka berkata bukti itu tidak mencukupi untuk dibawa kepada pihak pendakwaan.

Astro AWANI pada Rabu melaporkan pasukan penyiasat antarabangsa bagi insiden itu dijangka membentangkan hasil siasatan baharu mereka.

Ini termasuk kemungkinan menamakan suspek tambahan dalam kejadian tersebut.

November lalu, mahkamah Belanda mensabitkan dua bekas agen risikan Rusia dan pemimpin pemisah Ukraine atas kesalahan membunuh.

Siasatan MH17 | Pasukan penyiasat antarabangsa bentang hasil siasatan baharu

Mereka didakwa menyebabkan kematian 298 penumpang dan anak kapal dengan menggunakan sistem peluru berpandu milik Rusia.

Ketiga-tiga suspek dibicarakan tanpa kehadiran mereka dan kekal bebas sehingga kini.