JAKARTA: Indonesia dan Rusia bersedia untuk menjalinkan kerjasama dalam beberapa projek berskala besar pada masa akan datang.

Memetik laporan The Straits Times, syarikat minyak milik Indonesia, Pertamina dan syarikat minyak Russia, Rosneft akan meneruskan projek membina kilang penapisan minyak di wilayah Jawa Timur.

Menurut seorang pegawai kanan kerajaan Indonesia, Rusia sudah berunding untuk mendapatkan pelepasan cukai dalam projek berkenaan.

"Projek ini akan diteruskan sebagaimana ditetapkan," kata pegawai menyelia projek itu, yang enggan namanya didedahkan.

Syarikat usaha sama itu akan menguruskan kilang minyak New Grass Refinery Root (NGRR) di Jawa Timur dekat Tuban dan mempunyai keupayaan pengeluaran 229,000 tong sehari bagi petrol, diesel dan bahan api jet.

Fasa perancangan bagi praprojek sudah selesai dengan kos AS$16 bilion (kira-kira RM70 bilion), iaitu 45 peratus saham milik Rosneft manakala Pertamina memiliki 55 peratus.

Projek itu merupakan pelaburan baharu di antara kedua-dua negara kerana sebelumnya, Kedutaan Rusia di Jakarta berkata, Presiden Vladimir Putin membuat tawaran agar Russian Railways melabur di ibu negara baharu Indonesia di Kalimantan.

Pembinaan oleh syarikat kereta api Rusia di ibu kota baharu dinamakan Nusantara itu akan bermula pada bulan depan selepas tertangguh akibat COVID-19.

Selain itu, syarikat tenaga Rusia juga berminat melabur di Indonesia, terutama dalam membangunkan tenaga nuklear untuk membekalkan elektrik, kata Putin ketika lawatan Presiden Indonesia, Joko Widodo (Jokowi) ke Moscow, menurut kenyataan Kedutaan Rusia.

Rusia mengalihkan tumpuannya ke Asia dan Afrika selepas berdepan pelbagai sekatan Barat yang belum pernah berlaku sebelum ini susulan tindakannya menceroboh Ukraine.