Raja Salman namakan sidang kemuncak Arab ke-29 sebagai "Sidang Kemuncak Baitulmaqdis"

Bernama
April 15, 2018 23:31 MYT
Raja Salman bertitah isu Palestin adalah "isu keutamaan" dan kekal sebagai isu utama dan mengutuk keputusan pentadbiran AS untuk memindahkan kedutaannya ke Baitulmaqdis. REUTERS
Raja Arab Saudi, Raja Salman Abdul Aziz Al Saud menamakan Sidang Kemuncak Liga Arab ke-29 sebagai "Sidang Kemuncak Baitulmaqdis" untuk mengingatkan semua orang di seluruh dunia bahawa Palestin sentiasa tersemat dalam hati nurani masyarakat Arab.
Ketika merasmikan Sidang Kemuncak tersebut yang berlangsung di Pusat Kebudayaan Antarabangsa King Abdulaziz di Dhahran pada Ahad, baginda bertitah isu Palestin adalah "isu keutamaan kita" dan kekal sebagai isu utama dan mengutuk keputusan pentadbiran Amerika Syarikat (AS) untuk memindahkan kedutaannya ke Baitulmaqdis.
Menurut media dalam talian tempatan, Raja Salman mengumumkan sumbangan AS$50 juta kepada Agensi Bantuan dan Kerja Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNRWA) dan AS$150 juta kepada Program Bantuan Wakaf Islam di Baitulmaqdis sambil menegaskan bahawa Baitulmaqdis seharusnya menjadi ibu negara Palestin.
Baginda juga menggesa supaya Pertubuhan Bangsa Bersatu mengambil pendirian yang tegas terhadap dasar perluasan pengaruh oleh Iran di rantau berkenaan yang mencetuskan pergolakan.
Menurut Raja Salman, keselamatan dunia Arab adalah satu sistem yang lengkap dan tidak dapat dipisahkan. Baginda juga mengalu-alukan perjanjian untuk mengadakan sidang kemuncak kebudayaan Arab.
Raja Salman juga mengemukakan inisiatif dan kesediaan Arab saudi untuk menangani cabaran yang dihadapi oleh keselamatan dunia Arab.
Sidang kemuncak sehari itu masih berlangsung. -- Bernama
#Amerika Syarikat #Baitulmaqdis #Jerusalem #King Salman #Palestin #Raja Salman