DHAKA: Semakin ramai rakyat Bangladesh menghadapi penyakit kronik di bahagian perut akibat tabiat pemakanan dan penjagaan kesihatan yang lemah, yang mendorong peningkatan penjualan ubat gastrik dan anti-asid.

Ubat gastrik telah menjadi ubat terlaris di Bangladesh sejak lima tahun lalu manakala 90 peratus penduduk mengambil ubat berkenaan tanpa berunding dengan doktor, menurut pakar kesihatan awam.

Penjualan ubat gastrik telah mencecah Taka 34.18 bilion (AS$360 juta) tahun lepas, menyumbang pertumbuhan 30 peratus, lapor Agensi Anadolu memetik kajian terbaru Bangabandhu Sheikh Mujib Medical University (BSMMU).

Kira-kira 45 peratus kes ulser gastrik di Bangladesh disebabkan penggunaan ubat gastrik yang berlebihan.

Pengambilan ubat gas yang berlebihan menyebabkan kekurangan kalsium, magnesium, vitamin-12, dan zat besi, menurut laporan itu.

Benazir Ahmed, bekas pengarah kawalan penyakit di Direktorat Jenderal Perkhidmatan Kesihatan (DGHS) berkata tabiat makanan yang buruk serta pengambilan makanan dan air yang tercemar adalah antara punca utama peningkatan jumlah penyakit di Bangladesh.

"Penggunaan urea bagi penghasilan beras boleh menyebabkan kerosakan pada sel membran dan menimbulkan masalah dalam perut," kata Ahmed.

Keasidan berulang terus meningkat di negara ini akibat pengambilan ubat anti-asid secara berlebihan.

Majlis Penyelidikan Pertanian Bangladesh (BARC) mendapati mikrob berbahaya berada pada tahap membimbangkan menerusi kajian yang dijalankan pada tahun lalu.

BARC telah menjalankan pemeriksaan terhadap 149 sampel makanan jalanan di Dhaka dan mendapati lebih 1,100 koliform dan E-coli dalam setiap gram sampel.

-- BERNAMA