KERAJAAN Amerika Syarikat mengeluarkan amaran kepada rakyatnya untuk tidak mendekati lapangan terbang Kabul susulan suasan sesak di kawasan tersebut.

Amaran yang dikeluarkan pada Sabtu berikutan 'isu keselamatan yang dipercayai bakal berlaku', selepas ribuan penduduk cuba untuk melarikan diri dari Afghanistan selepas Taliban mengambil alih kuasa 15 Ogos lepas.

Puluhan ribu penduduk Afghanistan serta warga asing tertumpu di lapangan terbang tersebut dalam usaha untuk meninggalkan negara berkenaan.

Menurut Jabatan Pertahanan Amerika Syarikat sebanyak 17,000 orang termasuk 2,500 rakyat AS telah diterbangkan keluar dari Afghanistan.

Rakyat negara lain turut digesa mengambil langkah berjaga-jaga.

Kerajaan Jerman mengeluarkan amaran kepada rakyatnya supaya tidak mendekati kawasan lapangan terbang sementara Switzerland telah menunda penerbangan bagi mengeluarkan rakyatnya di Kabul.

Ketika ini Lapangan Terbang Antarabangsa Hamid Karzai dikawal ketat pasukan tentera AS bagi membantu proses pemindahan warga asing serta rakyat Afghanistan.

Kerajaan AS berkata kesemua anggota tentera negara itu akan dikeluarkan menjelang 31 Ogos ini.