RAMALLAH: Seorang warga Palestin yang ditahan di penjara Israel pada Selasa bersetuju untuk menamatkan mogok laparnya selama 141 hari selepas Israel memutuskan untuk membebaskannya, kata pegawai kanan Palestin bagi hal ehwal tahanan Qadri Abu Bakker kepada Xinhua.

Hisham Abu Hawash, bapa kepada lima anak berusia 40 tahun dari kampung Dura berdekatan bandar Hebron di selatan Tebing Barat, memutuskan untuk melancarkan mogok lapar sejak Ogos sebagai membantah penahanannya tanpa tuduhan.

Hisham yang merupakan ahli gerakan Jihad Islam Palestin, ditahan di bawah perintah tahanan pentadbiran, satu amalan kontroversi bagi menahan suspek selama berbulan-bulan tanpa membenarkan mereka melihat pertuduhan atau bukti terhadap mereka.

Peguamnya Khaled Mahajneh memberitahu pemberita bahawa Israel telah bersetuju tidak akan melanjutkan penahanan Hisham melebihi 26 Februari.

Abu Hawash dimasukkan ke hospital Israel pada Disember dan akhir-akhir ini keadaannya lemah dan tidak sedarkan diri di hospital. Hospital Israel pada Ahad menafikan laporan bahawa nyawa lelaki itu dalam bahaya.

Menurut Biro Perangkaan Pusat Palestin, Israel menahan lebih 4,000 rakyat Palestin di 23 penjara dan kem tahanan, termasuk 34 wanita.

-- BERNAMA