SELEPAS kali pertama mengadakan solat terawih dalam tempoh 88 tahun pada tahun lalu, Masjid Besar Hagia Sophia di Istanbul, Turkiye pada tahun ini, terus menjadi tumpuan umat Islam bagi menunaikan solat sunat pada Ramadan kali ini.

Memetik TRT World, kerja-kerja pembersihan di Hagia Sophia giat dilakukan menjelang solat terawih pertama hari ini dan ibadah Ramadan yang mana kebanyakan negara di seluruh dunia dijangka menunaikan rukun Islam ketiga itu pada 23 Mac.

Portal tersebut melaporkan pasukan Direktorat Perlindungan dan Kawalan Alam Sekitar Perbandaran Fatih, membersihkan bahagian dalam masjid berkenaan dengan air mawar.

Difahamkan, sanitasi menggunakan air mawar merupakan proses tradisional.

Selain itu, pekarangan dan persekitaran Masjid Hagia Sophia turut dibersihkan dengan air panas.

Hagia Sophia yang dibina pada 532 SM, digunakan sebagai gereja selama 916 tahun dan 86 tahun sebagai muzium.

Manakala dari 1453 hingga 1934, atau hampir 500 tahun, ia berfungsi sebagai masjid.

Bagaimanapun, Hagia Sophia diubah suai semula menjadi muzium pada 1934.

Pada 2020, statusnya kembali sebagai masjid dan dibuka untuk ibadah pada 24 Julai tahun sama.


Berikutan sekatan COVID-19 di Turkiye pada ketika itu, Masjid Hagia Sophia tidak digunakan bagi mengelakkan risiko jangkitan.

Pihak berkuasa Turkiye memutuskan membuka semula masjid itu pada Ramadan tahun lalu kerana kebanyakan penduduk telah menerima vaksinasi dan jumlah kes baharu serta kematian semakin menurun.

Hagia Sophia atau dalam bahasa Arab, Ayasofya antara destinasi pelancongan utama Turkiye dan terus dibuka untuk pelawat dari dalam dan luar negara.