BOKEO: Polis Laos berjaya melakukan rampasan dadah terbesar di Asia melibatkan 55.6 juta pil methamphetamine pada Khamis.

Dadah itu berjaya ditemui menerusi serbuan di sebuah rumah di wilayah Bokeo, susulan penahanan sebuah kenderaan yang ketika itu cuba menyeludup 10 juta pil dadah itu ke Vientiane.

Dalam serbuan rumah berkenaan, polis seterusnya menemui 65 beg mengandungi pil methamphetamine dengan berat 1,537 kilogram.

Dua lelaki ditahan dalam operasi itu.

Bokeo terletak di luar segi tiga emas dan menjadi lokasi transit untuk pemerdagangan dadah.

Polis wilayah itu kini sedang bekerjasama dengan rakan sejawat mereka di China, Thailand dan Myanmar serta wilayah lain di Laos untuk menghapuskan kegiatan haram di kawasan itu.