PULUHAN ribu rakyat Myanmar adakan tunjuk perasan di seluruh negara bagi membantah rampasan kuasa oleh tentera serta mendesak pembebasan pemimpin dipilih, Aung San Suu Kyi.

Ini merupakan tunjuk perasaan terbesar di negara itu sejak Revolusi Saffron pada 2007 yang membantu negara itu capai reformasi demokrasi.

Di bandar terbesar negara itu, Yangon, rata-rata peserta dilihat memakai baju merah selain memegang bendera dan balon merah, warna rasmi parti politik Suu Kyi, Parti Liga Demokrasi Kebangsaan (NLD).

"Kami tidak mahu pemerintahan diktator tentera! Kami mahukan demokrasi!" mereka laungkan semasa berarak di jalan.


60,000 individu menbanjiri bandar terbesar Myanmar, Yangon, pada Ahad bagi membantah rampasan kuasa tentera. - REUTERS


Pihak berkuasa junta turut memulihkan akses internet pada petang Ahad.

Penunjuk perasaan di Yangon berarak menuju ke Sule Pagoda di tengah bandar, sambil diperhatikan barisan anggota polis bersenjata.

Beberapa di antara mereka dilihat menghadiahkan bunga kepada anggota polis.

"Kami tidak mahu pemerintahan diktator untuk generasi akan datang.

"Kami akan teruskan revolusi ini sehingga mencipta sejarah. Kami akan membantah habis-habisan," kata seorang penunjuk perasaan berusia 21 tahun, Thaw Zin.

Sepanjang protes dijalankan, tiada sebarang komen dikeluarkan pihak berkuasa junta di ibu kota, Naypidaw, lebih 350 km di utara Yangon.

Petugas Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu berkata, sekurang-kurangnya 1,000 individu sertai tunjuk perasaan di Napypyidaw pada Ahad manakala 60,000 pula sertai protes di Yangon.

AWANI Global: Pemerintahan tentera kembali di Myanmar