KIGALI: Sebanyak 1,400 kes cacar monyet dilaporkan setakat tahun ini melibatkan tujuh negara di benua Afrika dengan 1,392 kes disyaki manakala 44 lagi kes disahkan, menurut kenyataan pejabat serantau Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) untuk Afrika pada Selasa.

Tujuh negara itu ialah Cameroon, Republik Afrika Tengah, Republik Demokratik Congo, Liberia, Nigeria, Republik Congo dan Sierra Leone, lapor Agensi Anadolu.

Sehingga 2019, kes cacar monyet di Nigeria dilaporkan terutamanya di selatan negara itu. Tetapi sejak 2020, virus itu telah merebak ke kawasan tengah, timur dan utara.

Cacar monyet pertama kali dikesan menjangkiti manusia pada 1970 di rantau Afrika, dan sejak itu, kebanyakan kes telah dilaporkan di kawasan hutan hujan dan luar bandar.

Pada 2017, terdapat peningkatan kes yang mendadak, dengan lebih 2,800 kes disyaki dilaporkan di lima negara.

Kes terus melonjak pada 2020, dengan lebih 6,300 kes disyaki, menyaksikan Republik Demokratik Congo menyumbang 95 peratus daripada jumlah keseluruhan. Jumlah itu kemudian menurun pada 2021 kepada sekitar 3,200 kes disyaki.

Baru-baru ini pada 7 Mei, kes pertama dilaporkan di Eropah melibatkan individu baru pulang ke England dari Nigeria.

Menurut kemas kini terbaharu WHO, kes cacar monyet kini dilaporkan di 23 negara, iaitu 260 kes dan 120 kes disyaki.

-- BERNAMA