Ratu cantik kembali bertugas sebagai doktor, bantu perangi pandemik COVID-19

Najmi Syahiran Mamat
April 7, 2020 03:25 MYT
Mukherjee buat keputusan kembali berbakti selepas melihat situasi negara berdepan pandemik yang semakin buruk. -Gambar Instagram @bhasha05
“SAYA rasa bersalah memegang gelaran Ratu Cantik England ketika dunia berperang melawan pandemik COVID-19, termasuk rakan-rakan sekerja saya.”
Demikian kata ratu cantik dari United Kingdom, Dr Bhasha Mukherjee yang sanggup melupakan hasrat menamatkan misi kerja amal di luar negara dan pulang ke negara asal untuk kembali berkhidmat sebagai doktor dalam usaha memerangi wabak COVID-19.
Mukherjee, yang sebelum ini dimahkotakan Miss England dua tahun lalu, berehat dari karier utama beliau sebagai doktor junior bagi memberi fokus dalam pertandingan ratu cantik dunia Miss World pada Disember 2019.
BACA: Dunia kekurangan 6 juta jururawat - WHO
Difahamkan, wanita berusia 24 tahun itu berada di India sepanjang Mac lalu bagi mewakili sebuah komuniti kebajikan sebagai duta dalam memberikan bantuan kepada beberapa sekolah dan rumah kebajikan di sana.
Mukherjee, bagaimanapun, berkata beliau membuat keputusan untuk kembali berbakti selepas melihat situasi negara berdepan pandemik yang semakin teruk.
Katanya, beliau juga menerima mesej daripada rakan-rakan di Hospital Pilgrim di Boston, hospital lama tempat beliau pernah bekerja, yang turut menceritakan kepadanya situasi sukar dihadapi mereka ketika ini.
“Bila kamu membuat aktiviti kemanusiaan di luar negara, kamu masih dianggap sebagai ratu cantik yang memakai mahkota, sentiasa bersedia untuk nampak menawan.
“Tetapi, saya teringin untuk pulang ke rumah. Saya teringin datang dan terus pergi bekerja,” katanya.
Beliau yang pada asalnya sudah merancang untuk memberi fokus kepada kerja-kerja kemanusiaan sehingga Ogos tahun ini, tanpa keberatan menghubungi pihak pengurusan hospital untuk memberitahu hasratnya kembali bertugas sebagai pegawai perubatan.
“Saya telah diundang untuk ke beberapa buah negara seperti Afrika, Turki, India, Pakistan juga negara-negara di Asia untuk menjadi duta kepada kerja-kerja amal,” katanya kepada agensi berita CNN.
Bagi Mukherjee, beliau kagum melihat bagaimana seluruh dunia menghargai petugas barisan hadapan dan berhasrat untuk menjadi sebahagian daripada mereka kerana mengetahui beliau juga mampu untuk membantu.
“Tiada saat yang indah bagi saya untuk bergelar Ratu Cantik England sementara membantu di saat England memerlukan,” katanya.
United Kingdom setakat Selasa mencatatkan 51, 608 kes jangkitan dan 5,373 kematian akibat COVID-19.
BACA: COVID-19: 1.33 juta positif, lebih 50,000 pertambahan kes dalam sehari
BACA: COVID-19: Pihak berkuasa mengeluh, warga London 'sibuk' berjemur
#Boston #COVID19 #Dr Bhasha Mukherjee #England #koronavirus #Miss England #Miss World 2019 #ratu cantik #United Kingdom