SAN FRANCISCO: Ratusan barangan di ibu pejabat Twitter di San Francisco, Amerika Syarikat dilaporkan dilelong, baru-baru ini.

Memetik BBC, patung logo Twitter dilaporkan antara barangan yang dilelong dengan anggaran harga AS$100,000 (RM431,550).

Namun begitu, penonton dalam talian memberitahu beberapa barangan terpakai tidak dijual pada harga murah malah lebih mahal daripada harga runcit.

Kredit: Auction Twitter, BBC

Patung logo Twitter

Penjualan itu dibuat dalam usaha pemiliknya, Elon Musk mengurangkan kos di Twitter berikutan pembelian AS$44 billion (RM191.44 bilion) syarikat itu tahun lepas.

Sejak mengambil alih pada akhir Oktober lalu, Musk memberhentikan kira-kira separuh daripada 7,500 kakitangan syarikat, memotong banyak elaun termasuk tiada lagi makanan percuma.

Pentadbir acara lelong, Heritage Global Partners tidak mengumumkan hasil keputusan akhir lelongan, tetapi BBC telah mengumpulkan beberapa harga barangan sejurus sebelum acara lelong ditutup.

Perhiasan bersaiz 190 cm (enam kaki) dengan simbol @ dilelong pada harga hampir AS$15,000 (RM64,732.50).

Meja bilik mesyuarat diperbuat daripada kayu tebus guna yang dilelong pada harga AS$10,500 (RM45,312.75) manakala mesin espresso mewah La Marzocco Strada 3 yang mana harga runcit berjumlah AS$30,000 (RM129,465) dilelong sekitar AS$13,500 (RM58,259.25).


Antara barangan yang dilelong di ibu pejabat Twitter, San Francisco

Kredit: Auction Twitter, BBC

Untuk barangan lelong dengan harga rendah, pembesar suara panggilan digunakan dalam bilik persidangan jenama Polycom dilelong pada harga kira-kira AS$300 (RM1,294.65).

Terdahulu, Musk pernah menciap di Twitter pada November lalu, syarikat berdepan kerugian besar dalam pendapatan berikutan penarikan diri beberapa pengiklan.

Terdahulu, Musk juga pernah memberi amaran Twitter berkemungkinan muflis.

Twitter juga didakwa gagal membayar sewa di pejabat di seluruh dunia termasuk ibu pejabat yang terletak di San Francisco.

Sementara itu, wakil Heritage Global Partners, Nick Dove memberitahu majalah Fortune bahawa penjualan itu tidak ada kaitan dengan kos untuk mendapatkan semula pembelian berjumlah AS$44 bilion (RM191.44 bilion).

"Jika sesiapa benar-benar berfikir bahawa hasil daripada menjual beberapa komputer dan kerusi untuk mendapatkan semula pulangan, maka mereka adalah orang bodoh," katanya.