TIDAK sampai seminggu dimahkotakan sebagai raja baharu Britain, tindakan Raja Charles III yang dilihat mementingkan kebersihan apabila meminta pembantu istana mengosongkan meja ketika ingin menandatangani beberapa dokumen penting, menjadi bualan hangat netizen.

Dalam insiden yang dirakam semasa upacara pertabalannya di Istana St. James pada Sabtu lalu, raja baharu itu dilihat tidak senang sambil meminta meja berkenaan dikosongkan.

Video itu menjadi tular dan mengundang pelbagai reaksi masyarakat global.

"Pembantu harus bersihkan meja untuk saya. Jangan harap saya yang alihkan barangan," perli pengulas BBC menerusi Twitternya @LauraKuenssberg.

Tidak kurang juga yang menyifatkan tindakan itu sebagai angkuh.

"Riak muka pada Raja Charles... adakah mereka (pembantu) perlu mengalihkan bekas pen itu? Saya tidak melihat riak wajah Putera William atau Permaisuri Camilla memberi reaksi sebegitu," kata salah satu ciapan di Twitter @Kriss

"Adakah baginda tidak dapat mengalihkan barangan itu sendiri?," komen sinis pengguna lain @stokeyyG2

Bagaimanapun, ada juga mengganggap tindakan baginda itu sebagai perkara biasa yang sememangnya akan dilakukan oleh mana-mana individu.

"Kelakar, anda perlu akui, kita juga begitu," kata netizen lain.

Pada Sabtu lalu, monarki Britain menyaksikan era pemerintahan baharu apabila Raja Charles III ditabalkan sebagai pemerintah baharu bagi mengantikan Ratu Elizabeth II yang mangkat pada usia 96 tahun.

Selain pengabdian untuk berkhidmat sepanjang hayat, Raja Charles III turut berikrar untuk menunjukkan contoh yang baik sama seperti yang dilakukan oleh bondanya ketika hayat baginda sebagai pemerintah tertinggi monarki itu.