LONDON: Reaksi yang ditunjukkan Raja Charles III ketika dilemparkan telur baru-baru ini mengingatkan peminat diraja tentang satu 'cubaan membunuh' beberapa tahun lepas, di mana baginda juga kelihatan tenang dan tidak terganggu.

Semasa lawatan diraja ke Australia pada tahun 1994, baginda mendengar tembakan dilepaskan namun tetap tenang.

Charles ketika itu baru saja tiba di Sydney Darling Harbour apabila seorang lelaki, David Kang, melepaskan dua das tembakan dan cuba meluru ke atas pentas.

Kang didakwa dengan pertuduhan mengancam keamanan dan dihukum 500 jam perkhidmatan masyarakat, kerana pihak berkuasa percaya dia tidak berniat mahu membunuh Charles.

Minggu lalu, Patrick Thelwell, seorang pelajar Universiti York ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan ketenteraman awam kerana membaling telur ke arah Raja Charles III semasa lawatannya ke Yorkshire.

 Thelwell yang telah digari dibawa pihak polis dari lokasi kejadian dengan segera. - AP

Sebelum berbuat demikian, lelaki berusia 23 tahun yang juga seorang aktivis iklim itu dikatakan menjerit "negara ini dibina atas darah hamba!".

Namun Raja Charles dilihat tenang, terus berjabat tangan dengan orang kenamaan termasuk Datuk Bandar, sebelum dibawa pergi.

"Tidak mengapa... kita teruskan saja..." kata Charles seperti yang dipetik dari sumber yang berada dekat dengan baginda ketika itu.

Thelwell dilaporkan telah didakwa atas kesalahan mengganggu ketenteraman awam, dan akan dihadapkan ke mahkamah pada 1 Disember depan.

Semasa insiden itu, Thelwell mengakui dia menerima layanan yang sudah dijangka. Selain ditahan pihak berkuasa di tempat kejadian, dia juga sempat dimaki, diludah dan dikasari orang awam malah mendapat ugutan bunuh.

Dua hari lalu, laporan menyatakan Thelwell cuba mengumpul dana awam untuk menampung kos guamannya yang mencecah 10,000 Pound.

Menurut sebuah laporan lain, Thelwell memberitahu bahawa pihak berkuasa melarangnya berada dalam lingkungan 500 meter dari Raja Charles III dan isterinya, Permaisuri Camilla. 

Media tabloid juga memetiknya berkata, dia kini 'dihukum' tidak dibenarkan membawa telur di luar rumah, melainkan semasa membeli-belah barangan runcit, yang dia sifatkan sebagai hukuman yang 'menggelikan hati'.

Namun, tidak dapat dipastikan sama ada hukuman itu benar dikenakan ke atas Thelwell, atau dia sekadar berseloroh.

Kekecohan | Raja Charles, Permaisuri Camilla dibaling telur