Jerebu yang berasal dari kebakaran hutan dan tanah ladang di Indonsesia kini membuatkan penduduk di Selatan Thailand resah kerana bencana seumpamanya jarang sekali berlaku.

Jabatan Kawalan Pencemaran Thailand melaporkan jerebu telah menyelubungi ruang udara di tujuh buah negeri di wilayah tersebut iaitu Narathiwat, Pattani, Phuket, Satun, Songkhla, Surat Thani dan Yala.

Pada Rabu, jabatan itu merekodkan penurunan paras pencemaran di enam negeri namun keadaan semakin bertambah buruk di pulau peranginan Phuket.

Indeks partikel pencemaran bagi setiap meter kubik udara di Songkhla misalnya mencapai bacaan 108 mikrogram, manakala kawasan-kawasan lain antara 56 hingga 92 mikrogram per kubik meter.

Apabila indeks itu melebihi 120 mikrogram per kubik meter, ia sudah memasuki paras tidak sihat. Keadaan itu membimbangkan orang awam yang selama ini menikmati indeks di bawah paras 40 mikrogram per kubik meter udara.

Paras pencemaran di Phuket dan Krabi, dua lokasi percutian popular yang menjana ekonomi setempat, pada Selasa lalu meningkat menjadi 174 hingga 200 mikrogram per kubik meter udara.

Jarak pandangan yang terbatas turut menjejaskan operasi di lapangan terbang di kedua-dua lokasi berkenaan sehingga telah menyebabkan kelewatan dan perubahan jadual penerbangan bagi 16 penerbangan.

Berikut adalah beberapa tweet dari pengguna media sosial di selatan Thailand mengenai perkembangan tersebut: