Riyadh bina 1,350 km paip air untuk siram 7.5 juta pokok

Bernama
Julai 10, 2023 04:44 MYT
Green Riyadh menyasarkan untuk menanam lebih 7.5 juta pokok dan meningkatkan kawasan hijau per kapita daripada 1.7 meter persegi kepada 28 meter persegi, 16 kali ganda daripada apa yang ada sekarang. - Facebook Green Riyadh
RIYADH: Pemasangan paip air sepanjang 1,350 kilometer sedang dilaksanakan di Riyadh untuk menyalurkan air bagi menyiram 7.5 juta pokok, sebagai sebahagian program utama untuk menghijaukan kawasan perumahan.
Saluran paip itu, apabila beroperasi kelak mampu menyalurkan 1.7 juta meter padu air setiap hari, menggunakan teknologi terkini seperti alat kawalan jauh dan pemantauan aliran air, lapor Xinhua memetik Agensi Berita Arab Saudi (SPA) pada Ahad.
Semua air yang digunakan 100 peratus air terawat bagi memenuhi komitmen program penggunaan sumber boleh diperbaharu, menurut laporan itu.
Arab Saudi merancang untuk menanam 10 bilion pokok di seluruh negara dalam dekad yang akan datang, dengan Riyadh menyasarkan untuk meningkatkan kawasan hijau di bandar raya itu kepada 9.1 peratus.
-- BERNAMA
#siram pokok #paip air #Arab Saudi #hijaukan kawasan perumahan