Rolls Royce membuat kenyataan bahawa mereka sudah memasuki peringkat ujian ke atas kerangka ruang (space-frame) yang mula dibangunkan sejak Februari 2015 lagi. Kerangka ruang ini diperbuat sepenuhnya daripada aluminium dan akan menjadi asas kepada semua model baharu Rolls Royce yang bakal diperkenalkan bermula tahun 2018.

Ujian-ujian untuk struktur kerangka ruang turut melibatkan kereta ujian yang seterusnya akan dipandu atas jalan raya-jalan raya awam di serata dunia.

Antara kriteria yang diperlukan oleh Rolls Royce adalah agar kerangka ruang ini dapat menyumbang kepada tahap keselesaan serta kualiti pemanduan yang sesuai dengan jenama tersohor ini, tidak kira permukaan.

Penggunaan kerangka ruang oleh Rolls Royce merupakan satu inovasi unik kerana kebiasaanya struktur ini lebih kerap dilihat pada jentera-jentera berprestasi tinggi (termasuk kereta lumba) kerana kekuatan struktur yang diberi tanpa pertambahan berat yang banyak.