KUALA LUMPUR: Penggunaan teknologi rantaian blok atau ‘blockchain’ kini amat popular di seluruh dunia terutamanya dalam pemilikan aset digital melalui NFT (Non-Fungible Token).

Melalui teknologi NFT, pengguna boleh membuktikan ketulenan serta hak milik sesuatu karya digital yang menjadikannya satu bentuk trend pelaburan yang lumayan.

Komuniti NFT Malaysia juga tidak ketinggalan untuk turut sama dengan keterujaan penghasilan karya seni yang dijual dalam bentuk NFT.

Terbaharu, telefilem ‘Rompak’ yang dijadual ditayangkan menerusi Astro First Jun ini turut akan dijual dalam bentuk NFT kepada pengguna!

Ini sekali gus menjadikan filem yang dibintangi Zizan Razak, Daiyan Trisha, MK K-Clique, Siti Khadijah Halim, Chubb E serta ramai lagi ini sebagai telefilem pertama di Asia Tenggara yang diterbitkan menggunakan teknologi NFT.

Menurut pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Intraday, Moshed Mohamad, penggunaan teknologi NFT dalam telefilem 'Rompak' merupakan antara pendekatan berkesan dalam usaha mendidik masyarakat Malaysia untuk memanfaatkan teknologi ini.

"Menerusi teknologi NFT, ia akan menyelesaikan banyak perkara terutamanya dalam hal royalti filem yang sebelum ini menjadi isu besar dalam kalangan pengkarya seni.

"Bukan itu sahaja, melalui penghasilan karya kreatif seperti telefilem 'Rompak', ia sekaligus mencetuskan satu era baharu buat pengkarya terutamanya penerbit filem di Malaysia untuk mempelbagaikan pendapatan daripada karya filem yang dihasilkan," katanya ketika ditemui Astro AWANI pada majlis pelancaran naskhah berkenaan pada Rabu.

Bagaimana NFT untuk telefilem ‘Rompak’ berfungsi?

Kalau sebelum ini, pengguna hanya perlu mendapatkan DVD yang tulen atau menonton di pawagam sebagai satu bentuk sokongan kepada mana-mana filem yang dihasilkan.

Menerusi pemilikan menggunakan teknologi NFT, pengguna kini mempunyai hak milik tertentu ke atas karya berkenaan bergantung kepada cara pemilikan yang ditentukan pihak penerbitan.

Bagi telefilem ‘Rompak’, teknologi NFT dimanfaatkan bagi membolehkan pelabur-pelabur NFT Malaysia turut sama membantu pihak penerbitan untuk menerbitkan telefilem ini.

Bagi penerbit telefilem ini, Khairul Anwar, pemilik NFT ‘Rompak’ akan menerima beberapa manfaat yang kini sedang dimuktamadkan pihaknya.

“Antara kelebihan kepada pemilik NFT kali ini ialah akses kepada visual di sebalik tabir filem, foto-foto eksklusif serta akses lain yang akan dimuktamadkan dalam masa terdekat,” kata beliau kepada Astro AWANI.

Bagi peminat serta sesiapa yang ingin mendapatkan NFT telefilem ‘Rompak’, anda boleh dapatkannya menerusi laman intradaynft.io bermula 22 Februari ini.

Apa kelebihan teknologi NFT kepada pengkarya?

Karya NFT boleh datang dalam pelbagai bentuk, antara yang paling popular ketika ini karya lukisan digital yang banyak dijual di platform-platform penjualan terkenal seperti Open Sea.

Akan tetapi, keupayaannya teknologi kontrakt pintar atau ‘smart contract’ pada NFT boleh dimanfaatkan juga untuk membolehkan pengkarya berkongsi pendapatan bersama peminat yang menjadi pemilik awal karya NFT mereka.

Bukan itu sahaja, pemilik NFT juga turut akan berada dalam komuniti tersendiri untuk beraktiviti di samping memperluaskan lagi jaringan sosial mereka.

Selain itu, NFT ini juga sifatnya unik dan tidak boleh ditukar ganti.

Bermakna, pemiliknya juga berupaya menjadikan pemilikan NFT ini sebagai aset yang boleh dijadikan pendapatan tambahan di masa akan datang.