Rusia kenakan sekatan balas ke atas Amerika Syarikat

Agensi
Mei 22, 2018 14:36 MYT
Ia melibatkan pelbagai sekatan perniagaan Amerika Syarikat di Rusia dan untuk sebarang kerjasama dengan Amerika Syarikat. - Gambar fail
Parlimen Rusia hari ini meluluskan satu rang undang-undang meluas yang antara lain boleh membekukan eksport penting ke Amerika Syarikat dan import ke negara itu dari Amerika Syarikat dan negara-negara lain.
Rang undang-undang itu digubal sebagai tindak balas kepada sekatan terkini oleh Amerika Syarikat terhadap Rusia.
Menurut Timbalan Pengerusi Pertama parlimen Rusia Duma, Alexander Zhukov, tindak balas tersebut adalah keutamaan Kremlin ketika ini.
"Sekatan balas yang akan dibawa dengan undang-undang ini adalah bukti tahap seriusnya Rusia terhadap negara luar yang telah mengenakan sekatan ke atas Rusia," jelasnya.
Ia melibatkan pelbagai sekatan perniagaan Amerika Syarikat di Rusia dan turut membabitkan sebarang kerjasama dengan Amerika Syarikat.
Antara lain, rang undang-undang itu membenarkan Presiden Rusia Vladimir Putin untuk "mengharamkan atau menggantung kerjasama dengan negara yang bermusuhan dengan Rusia" dan mengharamkan pengimportan barangan dari negara-negara yang tidak dinamakan.
Rang undang-undang asal mencadangkan sekatan tertentu kepada import Amerika Syarikat termasuk ubat-ubatan serta mengharamkan eksport penting, seperti titanium, ke Amerika Syarikat
#Amerika Syarikat #ekonomi #Parlimen #presiden #Rusia #sekatan ekonomi #undang-undang #Vladimir Putin