BAIKONUR COSMODROME: Rusia bakal melancarkan penggambaran filem pertama di dunia yang dijalankan di angkasa dalam usaha mengalahkan Amerika Syarikat.

Peruntukan dan jalan cerita menerusi filem bertajuk "The Challenge" itu bagaimanapun dirahsiakan, namun agensi angkasa Russia, Roscosmos mendedahkan ia mengenai pakar bedah wanita yang dihantar ke Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) untuk menyelamatkan angkasawan.

Jika penggambaran itu berjaya, kru filem Rusia ini akan mengalahkan projek Hollywood yang bakal memaparkan bintang "Mission Impossible" Tom Cruise bersama Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Amerika Syarikat (NASA) dan SpaceX milik Elon Musk.

Misi penggambaran angkasa lepas Rusia ini akan diketuai angkasawan Anton Shkaplerov dengan kapal angkasa Soyuz MS-19 selama 12 hari di ISS untuk penggambaran filem berkenaan.

Pengarah filem Klim Shipenko dan pelakon Yulia Peresild dijangka kembali ke bumi pada 17 Oktober melalui kapsul bersama angkasawan Oleg Novitsky, yang sudah berada di ISS selama enam bulan.

Pelancaran misi itu berlaku pada waktu mencabar bagi industri angkasa Rusia yang bergelut untuk mendapatkan dana kerajaan berikutan Kremlin lebih mengutamakan perbelanjaan bagi ketenteraan.