SYDNEY: Saintis Australia baru-baru ini berjaya menemui 'harta karun sebenar' yang boleh membantu mereka membuka rahsia masa lalu.

Saintis Pertubuhan Penyelidikan Saintifik dan Perindustrian Komanwel (CSIRO), yang bekerja di kapal penyelidikan, telah menemui kubur ikan jerung yang misteri pada kedalaman Lautan Hindi di luar pantai Pulau Cocos (Keeling), Australia.

Antara fosil haiwan laut purba yang ditemui termasuk gigi 'nenek moyang' jerung megalodon.

"Jerung ini berkembang menjadi megalodon yang merupakan ikan pemangsa terbesar dalam kalangan ikan jerung, tetapi mati kira-kira 3.5 juta tahun lalu," kata kurator ikan Muzium Australia Barat, Glen Moore.

Selain itu, penyelidik berjaya menemui lebih daripada 750 bentuk gigi haiwan di dasar Lautan Hindi.

Jerung megalodon yang wujud pada zaman purba. - Foto Sinar Harian/Agensi

Menurut penyelidik, ia merupakan kawasan 'kubur' jerung paling besar yang pernah ditemui manusia.

"Walaupun ia sekadar fosil jerung, iaitu sisik dan gigi, tapak seperti ini adalah 'tingkap sejarah' dunia haiwan," kata pakar jerung dari Koleksi Ikan Kebangsaan Australia, Will White.

Justeru, saintis menjangkakan bahawa fosil yang baharu ditemui ini akan membantu penyelidik memahami kepelbagaian spesies mendiami rantau ini dengan lebih tepat. - Sinar Harian memetik Agensi