'Sangat spekulatif' untuk katakan virus COVID-19 tidak muncul di China - WHO

Agensi
November 28, 2020 03:42 MYT
Pengarah Program Kecemasan WHO, Dr. Mike Ryan berkata, ia sangat spekulatif untuk WHO menyatakan penyakit ini tidak muncul di China. - Reuters
KUALA LUMPUR: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) berkata, adalah 'sangat spekulatif' bagi agensi itu menyatakan bahawa koronavirus tidak muncul di China, iaitu lokasi kali pertama ia dikesan di pasar jualan haiwan eksotik di Wuhan, pada Disember lalu.
China sedang merancang naratif melalui media negaranya bahawa virus itu sudahpun wujud di luar negara itu sebelum dijumpai di bandar Wuhan.
Reuters melaporkan, Negara Tembok Besar itu menyatakan koronavirus dikesan pada bungkusan makanan beku yang diimport dan laporan saintifik mendakwa ia telah berada di Eropah tahun lalu.
Pengarah Program Kecemasan WHO, Dr. Mike Ryan berkata, adalah sangat spekulatif untuk WHO menyatakan bahawa penyakit tersebut tidak muncul di China.
"Dari perspektif kesihatan awam jelas bahawa kita memulakan siasatan di lokasi kes yang kali pertama melibatkan manusia dikesan," katanya dalam sidang media di Geneva, pada Jumaat.
BACA: Penyelidik China dakwa COVID-19 berasal dari India
Mengulas lanjut, Mike berkata, perlunya bukti yang kukuh berkemungkinan membolehkan ia berasal dari tempat lain
Beliau mengulangi bahawa WHO berniat untuk menghantar para penyelidik ke pasar makanan Wuhan untuk menyiasat virus itu dengan lebih mendalam.
WHO sebelum ini dituduh Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump sebagai menyebelahi China namun dakwaan itu dinafikan pertubuhan berkenaan.
#Donald Trump #PBB #WHO #China #Amerika Syarikat #siasatan #virus #koronavirus #Pertubuhan Kesihatan Sedunia #pandemik