JAKARTA: Seorang pemandu beca digelar wira di sebuah perkampungan yang terletak di Lamongan, Jawa Timur selepas mengambil inisiatif menurap sendiri jalan berlubang yang gagal dibaiki oleh kerajaan.

Memetik Coconut Jakarta, lelaki bernama Gufron berusia 62 tahun itu menghabiskan masa dua hari membaiki jalan berlubang di jalan utama yang menghubungkan daerah Deket dan Karangbinangun yang sering menjadi laluan anak perempuannya.

"Saya risau.  Anak perempuan saya bekerja di bandar dan memandu di jalan ini setiap hari. Saya telah melihat banyak kemalangan di jalan ini, kerana selepas selekoh, jalan terus berlubang,” kata Gufron.

Dalam pada itu, Gufron nekad menutup lubang dengan membawa kerikil sendiri yang kemudian kerikil diratakan menggunakan sebuah tukul kecil.

"Saya tahu kerajaan sibuk, jadi jika saya boleh buat maka saya akan buat sendiri," tambahnya.

Tambah Gufron, anak-anak adalah segala-galanya baginya selepas isterinya meninggal dunia akibat komplikasi kencing manis pada Ogos 2022.

Gufron berkata lagi, dalam tempoh 40 hari sejak isterinya meninggal dunia, dia tidak boleh tidur malam dan tidak mahu kekal begini selamanya.

“Akhirnya, saya memberitahu anak-anak saya tidak boleh kekal begini selama-lamanya dan saya perlu bangun dan melakukan perkara yang berfaedah,” katanya.

Kisah Gufron turut mendapat perhatian kerajaan tempatan di negara itu yang ‘segan’ sehingga pihak mereka memutuskan memperbaiki jalan berlubang lain dengan cepat.