LONDON: Scotland pada Isnin mengesahkan kes pertama virus cacar monyet, menjadikan jumlah keseluruhan jangkitan di United Kingdom (UK) setakat ini 71 kes, menurut Agensi Keselamatan Kesihatan UK (UKHSA) pada Selasa, lapor Xinhua.

Di England, agensi itu telah mengesan 14 lagi kes dan buat masa ini tiada kes dikesan di Wales atau Ireland Utara.

"Sebahagian besar kes yang dikenal pasti setakat ini adalah dalam kalangan gay, biseksual dan lelaki yang melakukan hubungan sejenis, jadi kami meminta golongan ini ambil tahu simptomnya," menurut UKHSA.

Pasukan kesihatan UKSA sudah menghubungi kontak rapat yang berisiko tinggi untuk dijangkiti dan menasihatkan mereka menjalani kuarantin di rumah selama 21 hari.

Pihak UKSA juga sudah mendapatkan bekalan vaksin cacar yang akan ditawarkan kepada kontak rapat untuk mengurangkan risiko jangkitan dan mengelakkan sakit menjadi lebih teruk.

Antara tanda dan gejala jangkitan ialah ruam bermula di muka dan kemudian merebak ke tapak tangan dan kaki diikuti bahagian tubuh yang lain.

Gejala lain ialah demam, keletihan, sakit kepala, lenguh, sakit bahagian belakang badan atau sendi dan kejang otot.

Cacar monyet ialah penyakit zoonotic virus, berlaku terutamanya di kawasan hutan hujan tropika di Afrika dan kadangkala boleh menular ke kawasan lain. Pada Mei 2022, terdapat kes cacar monyet telah dikenal pasti di beberapa negara bukan endemik, menurut Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

-- BERNAMA