WASHINGTON: Saiz makhluk ini sangat kecil, namun sekali digigit sengkenit ini, anda boleh mengalami alergik terhadap daging merah sepanjang hayat.

Itulah penangan parasit ini apabila ia menghisap darah manusia atau haiwan mamalia.

Telegraph UK melaporkan, baru-baru ini Amerika Syarikat (AS) merekodkan peningkatan kes muntah, dipercayai salah satu simptom yang sangat lazim berlaku setelah digigit sengkenit atau kutu babi itu.

Jika digigit sengkenit yang dikenali sebagai lone star tick (diberi nama berdasarkan bintik putih tunggal pada tubuhnya) ini, seseorang boleh mengalami alahan kepada daging yang dikenali sebagai sindrom alpha-gal (AGS).

Arachnid berkaki lapan itu memperoleh molekul gula daripada kebanyakan mamalia seperti tikus, arnab dan rusa yang pernah digigitnya, sebelum memindahkannya kepada manusia menerusi air liurnya.

Manusia tidak memiliki alpha-gal dalam tubuh, maka sistem imunisasi akan melawannya sekali gus menghasilkan antibodi.

Mereka yang menghidap AGS sering mengadu mengalami alergik apabila memakan daging, termasuk anaphylaxis (reaksi alahan teruk yang mengancam nyawa), masalah perut, gatal-gatal dan sakit kepala.

Adalah sukar untuk dikenal pasti kerana tindak balas boleh berlaku beberapa jam selepas daging itu dimakan, malah kesannya boleh ditanggung seumur hidup dan semakin teruk dalam jangka masa panjang.

Laman web rasmi University of Rhode Island menyatakan, kutu jenis ini sering ditemui di kawasan belukar dengan rumput yang tumbuh rimbun dan melata, selain dijumpai sekitar habitat haiwan berehat. Larvanya tidak membawa sebarang penyakit, namun pada peringkat dewasa, ia membawa kuman yang boleh mengakibatkan pelbagai komplikasi kesihatan. Sifatnya juga dikatakan amat agresif apabila menggigit manusia.

Kajian terhadap hubungan antara sengkenit lone star ini dan sindrom berkenaan pertama kali dilakukan pada 2009 selepas ia dikesan di tenggara AS.

Pada Mac lalu, kutu ini telah membiak dan menimbulkan masalah di enam negeri di AS. Ia kini dilaporkan 'berhijrah' ke bahagian utara AS sehingga Washington DC susulan cuaca yang semakin panas. Ia diketahui mampu hidup dan bertahan dalam musim sejuk.

Dalam tempoh lapan tahun sejak 2010, sebanyak 34,000 kes AGS dilaporkan di AS.

Pasukan kesihatan AS memberi mengeluarkan amaran kepada orang ramai supaya berwaspada ketika melalui kawasan yang belukar dan semak terutamanya pada musim bunga dan panas.