Sekatan COVID-19: Kewajipan sijil vaksinasi ditarik semula di Republik Czech

Astro Awani
Februari 10, 2022 00:37 MYT
Orang ramai berjalan sambil memakai topeng pelitup muka ketika bersiar-siar di Charles Bridge, Prague, Republik Czech, 25 Feb 2021. (Gambar fail AP)
KERAJAAN Republik Czech memansuhkan keperluan menunjukkan sijil vaksinasi atau membuktikan pulih daripada COVID-19 sebelum dibenarkan memasuki premis atau menghadiri majlis sosial.
Kelonggaran sekatan bermula Khamis itu membolehkan orang ramai mengunjungi premis seperti bar, restoran, kafe, dan kedai gunting rambut serta venue sukan dan upacara keagamaan tanpa menunjukkan sijil vaksinasi.
Pada masa sama, Perdana Menteri Petr Fiala berkata, kerajaan akan mengumumkan beberapa lagi kelonggaran dalam bulan ini bergantung kepada perkembangan pandemik semasa.
Malah, ujarnya, kebanyakan sekatan akan dilonggarkan menjelang 1 Mac ini.
Kelonggaran lanjut, seperti yang diumumkan Menteri Kesihatan Vlastimil Valek termasuk, bermula 9 Feb lebih 5,000 orang dibenarkan hadir ke konsert, acara sukan dan mana-mana acara lain yang sebelum ini hanya membolehkan kehadiran 1,000 individu.
Had kehadiran bagi upacara lain juga dinaikkan kepada 500 orang daripada 100 orang.
Sebelum ini, kerajaan mengumumkan untuk menghentikan ujian mandatori di sekolah dan tempat kerja.
Ketika ini, Republik Czech masih mencatatkan jumlah kes harian tertinggi susulan penularan varian Omicron, dengan jumlah kumulatif 3.3 juta dan lebih 37,000 kematian.
Bagaimanapun, dengan populasi 10.5 juta individiu, negara itu kini mencatat lebih 6.8 juta yang sudah lengkap divaksin dan lebih 3.9 juta sudah menerima dos penggalak.
#Republik Czech #sijil vaksinasi #sekatan COVID-19 #kelonggaran