KARACHI: Sekurang-kurangnya 16 pelancong maut dalam cuaca sejuk bersalji selepas kenderaan mereka terkandas di utara Pakistan, kata pihak berkuasa pada Sabtu.

Dengan kira-kira 1,000 kenderaan masih terkandas, kerajaan mengisytiharkan Murree, 64 kilometer di timur laut Islamabad, sebagai kawasan bencana.

“Buat pertama kali dalam tempoh 15 hingga 20 tahun, jumlah pelancong yang begitu ramai berpusu-pusu ke Murree, mencetuskan krisis besar,” kata Sheikh Rashid Ahmed, Menteri Dalam Negeri Pakistan dalam satu mesej video.

Pasukan tentera dan pihak berkuasa yang lain telah dikerahkan untuk membantu dalam operasi menyelamat, katanya.

Lewat hari Jumaat, kerajaan mengumumkan penutupan semua jalan menuju ke bandar peranginan di atas bukit itu, bagi menghentikan kemasukan pelancong.

Perdana Menteri Imran Khan melahirkan rasa terkejut dan telah mengarahkan siasatan serta pelaksanaan peraturan yang lebih tegas bagi memastikan tragedi itu tidak berulang.

Salji, yang bermula pada malam Selasa telah menarik ribuan pelancong ke kawasan berkenaan. Jumlah pelawat yang ramai menyebabkan kesesakan dan ramai terkandas di jalan raya.

Media tempatan melaporkan lebih 100,000 kenderaan memasuki kawasan tersebut.

Video yang dikongsi di media sosial menunjukkan mangsa, termasuk kanak-kanak, terbaring kaku dalam kenderaan yang dilitupi salji.

"Adakah kematian disebabkan oleh cuaca sejuk atau keracunan karbon monoksida (CO)?" tulis Dr Faheem Yonus dari University of Maryland UCH, dalam satu ciapan.

"CO tidak berbau, boleh membawa maut jika kereta terbiar dalam salji, ekzos yang tersumbat (penyenyap) boleh membunuh penumpang dengan cepat," tambahnya.

Pihak berkuasa setakat ini tidak memberi sebarang maklumat mengenai punca kematian.