CANBERRA: Sebuah roket milik Agensi Aeronautik dan Angkasa Lepas (NASA) dilancarkan dari Australia buat pertama kali sejak tempoh 27 tahun, lapor Xinhua.

Roket suborbital itu dilancarkan dari Pusat Angkasa Arnhem di Wilayah Utara (NT) awal pagi Isnin selepas pelancarannya ditangguh akibat hujan dan angin kencang, menurut The Australian Broadcasting Corporation.

Agensi angkasa lepas Amerika Syarikat itu sebelum ini pernah melancarkan roket dari Australia pada 1995 dan ia merupakan pelancaran pertama dari landasan pelancar komersial di negara asing.

Roket itu mengembara kira-kira 300 kilometer ke angkasa untuk menjalankan kajian astrofizik di Hemisfera Selatan, menurut NASA.

Ketua Menteri NT Natasha Fyles menyifatkan acara itu sebagai "saat yang amat membanggakan" bagi Australia.

Pusat Angkasa Arnhem yang dimiliki dan dikendalikan Equatorial Launch Australia (ELA), menyasarkan untuk menganjurkan 50 pelancaran setahun menjelang 2024.

Pelancaran roket seterusnya dijadualkan pada 4 Julai.

-- BERNAMA