Seorang kanak-kanak dikesan 'ceroboh' pagar White House

Bernama
April 19, 2023 04:00 MYT
Kakitangan Perkhidmatan Rahsia memegang kanak-kanak yang merangkak masuk melalui pagar White House di Washington, 18 April 2023. (Foto AP)
WASHINGTON: Seorang kanak-kanak dikesan 'menceroboh' pagar Rumah Putih di sebelah utara kediaman presiden AS pada Selasa.
Kakitangan Perkhidmatan Rahsia "menemukan pelawat muda itu memasuki pagar di kawasan Rumah Putih," lapor Xinhua memetik kenyataan yang diperoleh media AS.
"Pegawai Perkhidmatan Rahsia serta-merta bertindak terhadap pengesanan sistem keselamatan Rumah Putih dan kanak-kanak kecil itu segera disatukan dengan ibu bapanya," menurut kenyataan yang dikeluarkan jurucakap Perkhidmatan Rahsia Anthony Guglielmi.
Akses ke kompleks itu dihadkan seketika semasa kejadian terbabit, menurut The Associated Press.
Pegawai Perkhidmatan Rahsia juga dilaporkan telah menyoal secara ringkas ibu bapa kanak-kanak berkenaan sebelum membenarkan mereka meneruskan perjalanan.
Perkhidmatan Taman Negara AS dan Perkhidmatan Rahsia telah berusaha membina pagar baharu sekeliling Rumah Putih sejak Julai 2019 selepas pelanggaran keselamatan sebelum ini.
-- BERNAMA
#White House #ceroboh #Kanak-kanak #Pegawai Perkhidmatan Rahsia AS