JERUSALEM: Sekurang-kurangnya seorang terbunuh manakala 14 lagi cedera dalam dua kejadian letupan di Baitulmaqdis pada awal Rabu, lapor Xinhua.

Insiden dilaporkan berlaku di sebuah perhentian bas berhampiran pintu masuk Baitulmaqdis dan letupan kedua terjadi kurang sejam selepas insiden pertama di stesen bas di Ramot, sebuah kawasan penempatan di Baitulmaqdis Timur, menurut polis.

Eli Bin, ketua pengarah perkhidmatan perubatan kecemasan Magen David Adom Israel, memberitahu media bahawa sekurang-kurangnya 15 orang cedera dan sebahagian daripada mereka kritikal.

Seorang mangsa yang cedera meninggal dunia di hospital akibat kecederaan yang dialami, menurut Hospital Sha'are Zedek dalam satu kenyataan.

Dalam satu kenyataan lain, polis memaklumkan bahawa siasatan mengenai kejadian "masih diteruskan" dan mendakwa letupan itu merupakan sebahagian daripada "serangan pengganas terancang."

--BERNAMA