Suruhanjaya Komunikasi Seoul mengesahkan, penggodaman di beberapa bank dan stesen televisyen di Korea Selatan bukan berpunca dari China seperti yang didakwa.

Sebaliknya, siasatan lanjut suruhanjaya tersebut mendapati bahawa gangguan berpunca dari dalam negara itu sendiri.

Menurut suruhanjaya itu, alamat protokol internet yang digunakan untuk menggodam sistem bank dan stesen televisyen baru-baru ini, adalah sama dengan alamat maya yang digunakan petugas bank bagi urusan dalaman.

Alamat yang digunakan menyerupai alamat protokol internet yang didaftarkan di China.

Bagaimanapun, hasil siasatan tersebut tidak membuktikan apa-apa.

Ini kerana terdapat petunjuk kod digunakan berasal dari luar negara dan gangguan ke atas enam syarikat mungkin berpunca dari satu pihak.

Sebelum ini Seoul mendakwa gangguan berpunca dari China, negara yang dikaitkan dengan Korea Utara.

Dakwaan itu membangkitkan kemarahan Pyongyang sekali gus mengancam menyerang Korea Selatan serta sekutunya Amerika Syarikat.