Sekumpulan 20 pelancong Malaysia yang berada di lokasi serangan tembak-menembak ke atas Karak Castle di bandar Karak, Jordan pada petang Ahad (18 Disember), dilaporkan dalam keadaan selamat.

Kenyataan tersebut dikeluarkan oleh pihak Kedutaan Besar Malaysia di Amman hari ini.

Dalam serangan itu, beberapa kecederaan telah dilaporkan dan seorang pelancong dari Kanada dan beberapa orang anggota polis Jordan telah maut.

Kenyataan itu juga menyebut, semua warganegara Malaysia berkenaan telah berjaya diselamatkan oleh pasukan keselamatan Jordan. Terdapat dua orang daripada mereka mengalami kecederaan dan sedang menerima rawatan.

Menurut kedutaan juga, mereka telah berhubung dengan pihak berkuasa Jordan dan mengesahkan kesemua pelancong Malaysia dalam keadaan selamat.

Selain itu, rakyat Malaysia terutama para pelajar di Universiti Mu’tah berhampiran Bandar Karak dinasihatkan untuk mematuhi arahan keselamatan oleh pihak berkuasa dan kedutaan.

Setakat kini, tiada pihak yang mengaku bertanggungjawab ke atas serangan tersebut.