TOKYO: Pihak berkuasa tempatan di bandar Yamaguchi, Jepun kini beralih kepada senjata penenang untuk menangani masalah kera liar yang telah mencederakan 42 orang dalam tempoh beberapa minggu kebelakangan ini.

Japanese macaque itu mudah ditemui di sebahagian besar negara tersebut, dan adakalanya menjadi haiwan perosak di sesetengah kawasan dengan memakan tanaman dan juga memasuki rumah.

Tetapi beberapa serangan kera di bandar yang terletak di barat Jepun itu disifatkan luar biasa, yang mengakibatkan ramai mangsa termasuk kanak-kanak mengalami luka gigitan.

"Bandar Yamaguchi dikelilingi kawasan pergunungan jadi kelibat kera bukanlah asing di sini.

"Tetapi kekerapan serangan sejak kebelakangan ini sesuatu yang luar biasa," kata seorang pegawai bandar dari jabatan pertanian kepada AFP.

Kebanyakan mangsa mengalami cedera ringan, tetapi pihak berkuasa kini terpaksa menggunakan senjata penenang selepas perangkap yang dipasang gagal memberi hasil yang dimahukan.

"Pada mulanya hanya kanak-kanak dan wanita yang diserang. Baru-baru ini orang tua dan lelaki dewasa turut menjadi sasaran," kata pegawai itu lagi.

Pegawai bandar raya dan polis juga membuat rondaan di kawasan itu sejak serangan pertama sekitar 8 Julai lalu, namun masih gagal membuat tangkapan.