Perdana Menteri New Zealand, Jacinda Ardern mengesahkan undang-undang senjata api negara itu akan dipinda susulan serangan pengganas di masjid Christchurch pada Jumaat.

Selain itu, beliau berkata, mayat mangsa akan dikembalikan kepada keluarga mereka bermula malam Ahad sehingga Rabu.

Dalam satu sidang media di Wellington, Ardern berkata, satu mesyuarat kabinet khas akan diadakan pada Isnin bagi membincangkan polisi kerajaan negara itu dan isu pengganas serta keselamatan orang awam.

"Saya sudah pun menyatakan bahawa kami akan membuat pindaan pada undang-undang senjata api di negara ini. Perkara tersebut akan dibincangkan dalam satu mesyuarat khas kabinet esok," jelasnya.

Beliau turut memaklumkan satu upacara memperingati mangsa keganasan itu akan diadakan di Parlimen pada Selasa.