BELGRADE: Presiden Aleksandar Vucic pada Jumaat berkata Serbia tidak akan menyertai NATO.

Beliau berkata demikian pada hari kedua sesi khas Perhimpunan Serbia yang membincangkan secara menyeluruh Rancangan Franco-Jerman yang disokong oleh Amerika Syarikat (AS) dan Kesatuan Eropah (EU) secara menyeluruh untuk menyelesaikan isu Kosovo.

"Serbia tidak mahu menyertai NATO. Serbia mahu mengekalkan dan mengukuhkan neutraliti tenteranya. Terdapat perbezaan besar antara integrasi Eropah dan integrasi Atlantik,'' kata beliau lapor Agensi Anadolu.

Beliau berkata Serbia akan menghalang Kosovo daripada menyertai Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan yakin boleh merealisasikannya.

Ahli Parlimen telah menerima pakai laporan kerajaan mengenai rundingan dengan Kosovo dari September 2022 hingga pertengahan Januari 2023.

Laporan itu menerima undian 153 menyokong, 23 lagi membantah manakala sembilan berkecuali ketika perbahasan mengenainya dilakukan di Parlimen yang dihadiri oleh 183 Ahli Parlimen.

Kosovo mengisytiharkan kemerdekaannya daripada Serbia pada 2008 dengan kebanyakan negara anggota PBB termasuk Amerika Syarikat, United Kingdom, Perancis, Jerman dan Turkiye mengiktirafnya sebagai negara autonomi yang berasingan daripada jirannya.

Bagaimanapun, Belgrade terus menganggap Kosovo sebagai sebahagian wilayahnya.

-- BERNAMA