SHANGHAI: Shanghai mengumumkan akan membuka semula semua sekolah rendah, menengah, tadika dan taska bermula 1 September selepas berbulan ditutup susulan COVID-19.

Bandar itu akan mewajibkan semua guru dan pelajar mengambil ujian asid nukleik COVID-19 setiap hari sebelum meninggalkan kampus, menurut kenyataan yang diterbitkan oleh Suruhanjaya Pendidikan Perbandaran Shanghai.

Ia juga menyeru guru dan pelajar untuk menjalankan pengurusan kesihatan diri selama 14 hari di dalam bandar sebelum pembukaan semula sekolah.

Shanghai menutup semua sekolah pada pertengahan Mac lalu sebelum kawalan pergerakan selama dua bulan untuk memerangi COVID-19 yang teruk pada April dan Mei.

Ia membenarkan beberapa pelajar sekolah menengah kembali ke bilik darjah pada bulan Jun, manakala sebahagian besar yang lain meneruskan pengajian di rumah.