Singapore Airlines tawar perkhidmatan restoran dalam pesawat A380

Khairunnisa Kasnoon
Oktober 27, 2020 23:47 MYT
Sabtu lalu, buat pertama kalinya dua pesawat Singapore Airlines ditukar menjadi restoran yang menawarkan pengalaman unik kepada pengunjung. - Foto Facebook Singapore Airlines
BUAT pertama kalinya, Singapore Airlines pada Sabtu membuka peluang kepada 400 tetamu untuk menikmati juadah di dalam pesawat.
Restoran dalam pesawat itu merupakan salah satu alternatif bagi menjana pendapatan buat syarikat tersebut yang turut terkesan akibat pandemik COVID-19.
Menu paling mahal ditawarkan di kelas pertama, berharga S$642 (RM1,967.43), menyediakan sajian dengan lapan hidangan.
Sementara menu yang paling murah ialah di kelas ekonomi, berharga S$52 (RM162.44), menyediakan sajian dengan tiga hidangan.
Pada masa sama, pengunjung turut berpeluang melawat sekitar pesawat dua tingkat itu untuk bergambar bersama juruterbang di kokpit.
Sebelum menaiki pesawat untuk menjamu selera, pengunjung perlu menjalani pemeriksaan keselamatan seperti biasa di Lapangan Terbang Changi.
Selain menikmati makanan tengah hari, pengunjung juga boleh menonton filem di tempat duduk masing-masing.
Syarikat penerbangan itu, yang membuang ribuan pekerja dan memberhentikan hampir semua pesawatnya tahun ini, menawarkan pengunjung kesempatan menjamu selera di dua pesawat penumpang terbesar di dunia, A380.
Pada masa, sebagai mematuhi prosedur operasi standard (SOP), sebahagian tempat duduk dibiarkan kosong sebagai menjaga penjarakan fizikal.
#pesawat #COVID-19 #pesawat penumpang #pandemik #Singapore Airlines #restoran