Singapura menyuarakan "kegusaran kami" dengan Malaysia berhubung tindakan negara itu menahan kapal perikanan berdaftar di Singapura yang republik itu dakwa berada dalam perairannya semasa pertama kali dihampiri pihak berkuasa Malaysia.

Stesen televisyen Channel NewsAsia (CNA) memetik Pihak Berkuasa Agro-Makanan & Veterinar Singapura AVA) sebagai mengesahkan insiden itu pada Khamis dan menyatakan Singapura telah menghubungi pihak berkuasa Malaysia.

CNA memetik jurucakap AVA sebagai berkata kapal perikanan itu yang memiliki lesen AVA, SMF1195, dan empat kru ditahan kerana didakwa menceroboh perairan Malaysia.

Laporan itu memetik AVA sebagai berkata Singapura difahamkan kapal perikanan itu berada di kawasan perairan Singapura semasa pertama kali ia dihampiri pihak berkuasa Malaysia.

"Singapura telah menyatakan 'kegusaran kami' dengan Malaysia berhubung insiden ini dan sedang berhubung dengan pihak berkuasa Malaysia.

Pemilik kapal itu, Lian Yak Fish Merchant, dilaporkan berkata kapal itu berada kira-kira empat batu nautika di perairan Pulau Batu Puteh pada 6 pagi Selasa apabila ia dihampiri bot peronda Malaysia.

Kapal itu kemudiannya ditahan di Kota Tinggi di Johor.

Lian Yak Fish Merchant juga menyatakan tiga pegawai Malaysia juga telah naik ke kapal itu dan meminta kru belayar menuju ke Sedili di Kota Tinggi.

Kami tiba esoknya, dan anggota kru ditahan tanpa jaminan, kata syarikat itu.

Lian Yak Fish Merchant berkata kemungkinan kapal itu tidak berada di perairan Malaysia kerana ia telah menangkap ikan di kawasan itu lebih 40 tahun dan walaupun pernah berlaku salah faham sebelum ini, ia telah diselesaikan.

Empat kru itu ialah warga asing berumur antara 36 dan 62 tahun dan mereka dijangka dihadapkan ke mahkamah Selasa depan, menurut syarikat itu.