WASHINGTON: Pelayan e-mel Biro Siasatan Persekutuan (FBI) Amerika Syarikat dikatakan telah mengalami serangan siber, menurut The Spamhaus Project, lapor Sputnik.

"Carta berikut menunjukkan trafik e-mel yang berasal daripada pelayan mel FBI (http://mx-east-ic.fbi.gov | 153.31.119.142) terlibat. Anda boleh melihat dengan jelas dua lonjakan yang disebabkan oleh amaran palsu (serangan siber) malam tadi," tulis Spamhaus Project di Twitter.

Spamhaus Project ialah sebuah organisasi antarabangsa untuk menjejaki e-mel spam dan aktiviti berkaitan spam.

Menurut Spamhaus, e-mel mengandungi amaran palsu daripada Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (DHS) dihantar ke alamat yang "scraped" daripada pangkalan data American Registry for Internet Numbers (ARIN).

Dalam satu lagi ciapan, Spamhaus berkata bahawa laporan lain mengatakan serangan penggodaman pada Sabtu itu tidak terhad kepada satu pangkalan data.

Spamhaus Project memaklumkan kepada BleepingComputer bahawa e-mel palsu mencapai sekurang-kurangnya 100,000 penerima dan bilangan peti e-mel yang terjejas mungkin lebih besar.

Sementara itu, FBI berkata dalam satu kenyataan pada hari Sabtu memaklumkan bahawa pihaknya menyedari kejadian melibatkan e-mel palsu daripada akaun e-mel @ic.fbi.gov.

Tiada butiran lanjut diberikan, tetapi menurut FBI perkakasan yang terjejas telah ditarik balik dengan segera sebaik menyedari masalah itu.

-- BERNAMA