KIEV: Presiden Ukraine Volodymyr Zelensky memaklumkan situasi di bandar Bakhmut di wilayah timur Ukraine semakin tegang.

Memetik BBC, Zelensky memaklumkan sehingga kini, tentera Rusia masih berusaha merebut bandar itu selepas cubaan sejak lebih enam bulan lalu.

"Musuh berterusan memusnahkan segalanya yang boleh digunakan untuk melindungi kedudukan kami secara konsisten," kata Zelensky.

Semalam, Kementerian Pertahanan Rusia memaklumkan tenteranya memusnahkan depot peluru Ukraine, berhampiran dengan bandar Bakhmut.

Tentera Rusia juga menembak jatuh empat peluru berpandu Sistem Roket Artileri Mobiliti Tinggi (HIMARS) bersama lima dron yang dilancarkan oleh tentera Ukraine.

Rusia menjadikan Bakhmut sebagai keutamaannya untuk menawan dalam usaha untuk menguasai wilayah perindustrian Donbas di timur Ukraine.

Pemimpin pemisah Republik Rakyat Donetsk, Denis Pushilin, berkata secara praktikal semua akses ke bandar itu kini di bawah kawalan 'kebakaran' Rusia.

Sementara itu, Amerika Syarikat turut memberi amaran kepada China mengenai tindakan yang akan dikenakan, sekiranya negara ekonomi terbesar dunia itu menyediakan senjata, bagi menyokong pencerobohan Rusia terhadap Ukraine.

Ini berikutan, pertemuan antara diplomat tertinggi China, Wang Yi, dan Presiden Rusia Vladimir Putin di Moscow minggu lalu dilihat ramai sebagai petunjuk hubungan rapat China dengan Rusia.