ST PETERSBURG: Rusia sedang memperkukuh usaha membangunkan sektor pelancongan mesra Muslim atau halal tourism seiring peningkatan permintaan global terhadap pengalaman pelancongan yang mematuhi sensitiviti agama dan budaya.
Dalam satu sesi di Forum Ekonomi Antarabangsa St. Petersburg (SPIEF) 2026, penganjur menjelaskan bahawa program pelancongan Rusia kini distrukturkan kepada tiga komponen utama, termasuk program perniagaan yang turut membuka ruang interaksi antara pelancong dan tokoh politik, sukan serta seni.
Komponen kedua pula melibatkan pameran peralatan profesional pelancongan yang menyasarkan kerjasama perniagaan-ke-perniagaan (B2B) dan perniagaan-ke-pengguna (B2C), manakala komponen ketiga ialah festival terbuka yang menampilkan makanan, budaya serta kraftangan tempatan.
Ketua penganjur pameran pelancongan itu, Vladimir Zatynayko berkata Rusia mengambil kira keperluan pelancong Muslim dengan menyediakan infrastruktur dan pendekatan inklusif di seluruh negara.
“Negara kami adalah berbilang bangsa dan berbilang agama, dan kami menghormati setiap kepercayaan. Setiap pelancong boleh mendapatkan apa yang mereka perlukan melalui reruai yang disediakan oleh setiap wilayah di Rusia,” katanya.
Beliau turut memaklumkan bahawa aspek halal telah mula diintegrasikan dalam penganjuran acara rasmi, termasuk pensijilan halal bagi penganjur acara itu sendiri, sebagai langkah memastikan pematuhan kepada keperluan pelancong Muslim antarabangsa.
“Russian Congress mempunyai sijil halal sebagai penganjur acara. Kami menganjurkan semua program dengan mengambil kira tradisi dan nilai semua masyarakat dunia,” tambahnya.
Menurut penganjur, pendekatan ini dilihat sebagai strategi Rusia untuk menarik lebih ramai pelancong antarabangsa, khususnya dari negara-negara Asia dan Timur Tengah, di samping memperkukuh kedudukan negara itu sebagai destinasi pelancongan global yang lebih inklusif.