COLOMBO: Seramai 17 Ahli Parlimen Sri Lanka pada Isnin mengangkat sumpah sebagai menteri ketika negara itu berdepan ketidakstabilan politik dan krisis ekonomi yang teruk, lapor Xinhua.

Sebelum pelantikan itu, Presiden Gotabaya Rajapaksa mahu menteri yang dipilih terdiri daripada Ahli Parlimen yang lebih muda.

Senarai Kabinet itu menampilkan beberapa muka baharu termasuk Kanchana Wijesekera yang dilantik sebagai Menteri Sumber dan Tenaga, Nalaka Godahewa (Menteri Media), Channa Jayasumana (Menteri Kesihatan), Pramitha Tennakoon (Menteri Pelabuhan dan Perkapalan) dan Prasanna Ranatunga (Menteri Keselamatan Awam dan Pelancongan).

Ali Sabry yang mengangkat sumpah awal bulan ini kekal memegang portfolio Menteri Kewangan.

Pelantikan Kabinet baharu itu dibuat selepas jemaah menteri sebelum ini meletak jawatan pada awal bulan lalu akibat ketidakstabilan politik dan krisis ekonomi.

Sri Lanka menyaksikan bantahan awam selama berminggu-minggu, dan penunjuk perasaan mendesak kerajaan mengambil langkah segera atau meletak jawatan.

-- BERNAMA