COLOMBO: Ceylon Petroleum Corporation (CPC) milik kerajaan Sri Lanka sekali lagi menaikkan harga bahan api berkuat kuasa Selasa, lapor Xinhua.

Menteri Tenaga, Kanchana Wijesekera berkata ketetapan itu diputuskan mesyuarat Kabinet pada Isnin malam.

Dengan kenaikan itu, harga seliter petrol 92 meningkat sebanyak 82 rupee kepada 420 rupee manakala satu liter petrol 95 pula naik sebanyak 77 rupee kepada 450 rupee.

Sementara itu, harga satu liter diesel meningkat 111 rupee kepada 400 rupee, dan satu liter diesel super meningkat sebanyak 116 rupee kepada 445 rupee.

Sebuah lagi syarikat pengedar bahan api, Lanka IOC turut mengumumkan kenaikan harga selari dengan langkah yang diambil CPC.

Sri Lanka bergelut dengan krisis pertukaran asing menyebabkan kekurangan bahan api sejak beberapa bulan lalu.

Sehubungan itu polis telah melancarkan serbuan untuk menahan individu yang menyorok diesel atau petrol untuk dijual semula.

-- BERNAMA