BEIJING: Kapal angkasa lepas Shenzhou-13 yang membawa tiga angkasawan Zhai Zhigang, Wang Yaping dan Ye Guangfu, berjaya mendarat di Bumi, pada Sabtu.

Pengarah Jabatan Kejuruteraan Penerbangan Angkasa Lepas Bermanusia (CMSEO), Hao Chun berkata sejak tahun 2000, China telah berjaya melakukan penerbangan sebanyak enam kali.

Beliau berkata ia termasuk penerbangan perdana roket Long March 5B, modul teras Tianhe di Stesen Angkasa Lepas, kapal angkasa lepas bermanusia Shenzhou-12 dan Shenzhou-13, kapal pengangkutan kargo Tianzhou-2 dan Tianzhou-3.

"Ia sekali gus mencapai matlamat penentusahan teknologi utama, serta menyediakan asas yang kukuh bagi pembangunan stesen angkasa lepas," katanya.

Menurut jadual ditetapkan, China akan menyelesaikan pembinaan dalam orbit di stesen angkasa lepas sepanjang tahun 2022 menerusi enam kali penerbangan, iaitu pelancaran kapal pengangkutan kargo Tianzhou-4 pada Mei, kapal bermanusia Shenzhou-14 (Jun), kapsul makmal Wentian (Julai), kapsul makmal Mengtian (Oktober), kapal pengangkutan kargo Tianzhou-5 dan kapal bermanusia Shenzhou-15 pada penghujung tahun ini.

"Kami berhasrat membangunkan stesen angkasa lepas China, menjadi wahana memacu pembentukan komuniti berkongsi nasib sesama insan untuk bersama dengan angkasawan dan pasukan teknologi berkaitan dari pelbagai negara dalam usaha mengeksplorasi alam semesta dan mensejahterakan manusia," kata Hao.

Untuk rekod, satu-satunya stesen angkasa lepas antarabangsa mula ditubuhkan pada 1998, dan dijangka berfungsi sehingga tahun 2015, namun tempoh perkhidmatan telah dilanjutkan sebanyak dua kali.

Selepas beberapa tahun, stesen angkasa lepas China berkemungkinan menjadi satu-satunya stesen di dunia ini yang terbuka untuk pelbagai negara.

Dimaklumkan, sebanyak 17 buah negara telah terpilih dalam senarai projek ujian sains dan teknologi dalam kumpulan pertama yang diumumkan China.

-- BERNAMA